SEJARAH SEKOLAH
Pada peringkat awalnya, Kota Bahagia yang dikenali sebagai Bandar 14, adalah kawasan hutan yang tidak didiami orang dan hanya terdapat beberapa buah kampong tradisional seperti Kampung Alai, Kampung Meripoh, Kampung Samak dan Kampung Lubuk Batu yang didiami oleh beberapa keluarga sahaja.
Kemudahan asas seperti api, air, jalanraya, sekolah dan sebagainya tidak ada. Kanak-kanak yang hendak bersekolah terpaksa pergi ke Sekolah Kebangsaan Kampung Aur, Bukit Ibam yang terletak kira-kira 40 km dari Kota Bahagia.
Perbadanan Ladang Tabung Haji membuka ladang kelapa sawit di sini dan membawa masuk ramai pekerja-pekerja dari luar. Oleh kerana anak-anak pekerja ladang memerlukan pendidikan sementara sekolah yang ada jaraknya terlalu jauh, Perbadanan Ladang Tabung Haji telah memohon kebenaran dari Jabatan Pelajaran Negeri Pahang untuk mendirikan sebuah sekolah di Kota Bahagia, di mana pihak Perbadanan bersetuju menyediakan bilik darjah dan kelengkapan yang lain.
Sekolah ini telah dibuka pada 01 Januari 1975. Pada peringkat awal 2 buah bangunan yang berdinding papan dan beratap zink telah dibina oleh Perbadanan Ladang Tabung Haji. Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Bandar 14. Jumlah pelajar pada waktu itu seramai 40 orang dengan 4 orang tenaga pengajar. Dari setahun ke setahun bilangan pelajarnya telah meningkat dan pada tahun 1978 bilangan pelajarnya telah meningkat kepada 213 orang dengan 10 orang tenaga pengajar.
Pada tahun 1980 Jabatan Pelajaran Negeri Pahang telah membina bangunan baru bagi menampung bilangan pelajar yang semakin ramai. Pelajarnya datang dari Ladang Kota Bahagia serta kampong tradisional di sekitar ladang ini iaitu Kampung Merepoh, Kampung Lubok Batu dan Kampung Tenggalong. Pada tahun 1983 bilangan pelajarnya seramai 356 orang, 16 orang guru dan 2 orang pekerja.
Mereka yang bertanggungjawab menubuhkan sekolah ini pada peringkat permulaan, terdiri daripada 4 orang jawatankuasa bertindak iaitu:
En Mohd Yunus bin Mohd Aris - Pengurus Ladang Kota Bahagia
En Abdul Rahman bin Sentul - Wakil penduduk Kota Bahagia
Tn Haji Yusof bin Said, PJK. - Ketua kampong Lubuk Batu
En Salleh bin Musa - Wakil Penduduk Kg Lubuk Batu.
Pada 01 Mac 1985 sekolah ini diistiharkan dengan nama baru iaitu Sekolah Kebangsaan Ladang Kota Bahagia, Pahang Tenggara.
Senarai nama Guru Besar yang pernah berkhidmat di SK Ladang Kota Bahagia:
i. Ahmad Razali bin Jambul 1975
ii. Abd Latif bin Andak 1979
iii. Mohd Sood bin Abd Ghani 1981
iv. Abd Hamid bin Ismail 1984
v. Abd Rahman bin Kemat 1987
vi. Leman bin Hassan 1995
vii. Mohd Karim bin Basiran 1998
viii. Hjh Fauziah bt Hj Samsudin 01.10.2002
ix. Mohd Nor bin Abu Bakar 01.11.2004
x. Shahrin bin Abd Manan 01.03.2005
xi. Abdul Jallil bin Abdul Aziz 01.11.2007
Motto / Cogan kata Sekolah
ILMU MEMBAWA BAHAGIA
Visi Sekolah
CEMERLANG DALAM AKADEMIK,
KURIKULUM DAN BINA INSAN
Misi Sekolah
- MENCAPAI 100% MENGUASAI SEMUA MATAPELAJARAN
- MEWAKILI DAERAH ROMPIN DALAM KOKURIKULUM
- MELAHIRKAN MURID YANG BERDISPLIN DAN BERAKHLAK MULIA
Objektif sekolah
- Meningkatkan kualiti keinsanan dan kesempurnaan.berasaskan pegangan agama.
- Meningkatkan keyakinan diri, proaktif dan sentiasa meningkatkan potensi diri.
- Meningkatkan kecemerlangan kurikulum.
- Meningkatkan kecemerlangan keceriaan.
- Mewujudkan sistem pengurusan dan pentadbiran yang bersistematik dan berkesan.
- Meningkatkan kemahiran merancang dan mengurus masa serta teknik belajar yang strategik dan berkesan.
Falsafah Sekolah
Semua murid mempunyai potensi untuk menjadi manusia yang berilmu dan bersasiah mulia. Melalui pendidikan yang berkesan dan bimbingan yang berteraskan keutuhan diharap dapat melahirkan pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani